FIRDUS memantau pelaksanaan SST bersama dengan Penolong Pengurus, Pacific Hypermarket, Chew Chin Kheong Steven (kiri) ketika pemeriksaan harga jualan di Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Mohd Zulkifli Zainuddin
mohd.zulkifli@nstp.com.my


KENAIKAN harga barang jualan di semua pasar raya tidak sepatutnya berlaku memandangkan premis itu masih menggunakan stok lama sebelum pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) bermula semalam.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Firdus Zakaria berkata, stok lama yang dijual di pasar raya terbabit diambil ketika pengecualian cukai, sekali gus barangan yang dijual ketika ini tidak sepatutnya berubah.

Sehubungan itu, katanya, pengguna yang mendapati mana-mana pasar raya yang menaikkan dalam tempoh terdekat perlu membuat aduan kepada KPDNHEP.

"Tidak sepatutnya harga barang jualan di pasar raya mengalami kenaikan memandangkan barang yang dijual adalah stok lama dan ia dibeli ketika SST belum dilaksanakan.

"Kita jangkakan stok baru akan dijual bermula 1 Oktober depan. Bagaimanapun, keadaan ini bukan bermakna pasar raya terbabit tidak boleh menaikkan harga jualan ketika ini, cuma mereka perlu mengemukakan dokumen dan bukti yang menunjukkan barang jualan itu dari stok baharu.

"Bagaimanapun, kita masih belum menerima aduan daripada pengguna membabitkan kes SST. Jika ada aduan, kita akan melakukan siasatan," katanya selepas melakukan pemeriksaan menerusi Ops Catut 5.0 di pasar raya di Kota Bharu, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan orang ramai diminta memantau harga barangan di seluruh negara bagi membanteras peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga berikutan pelaksanaan SST bermula semalam.

Pix Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 6:20 PM