GAMBAR hiasan

Erika George

cnews@nstp.com.my

PERSELISIHAN faham menjadi punca remaja lelaki parah ditikam sekumpulan lelaki di perhentian bas sekolah menengah di Bintulu, Khamis lalu.

Dalam kejadian 5 petang itu, mangsa yang berusia 16 tahun itu parah di tangan kanan selepas terkena libasan pisau seorang daripada suspek ketika cuba untuk mempertahankan diri.

Difahamkan, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran menyebabkan suspek mengejar mangsa sehingga ke perhentian bas dan akhirnya berlaku pergelutan antara mereka.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili, berkata, sejurus menerima laporan kejadian, sepasukan polis dari Balai Polis Bintulu dihantar ke lokasi untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, sebaik tiba kumpulan terbabit sudah melarikan diri namun mangsa yang masih berada di lokasi kejadian memberikan maklumat mengenai suspek.

“Operasi menerusi Ops Cantas memburu suspek kemudian terus dilancarkan dan hasilnya lima remaja lelaki berusia antara 16 hingga 19 tahun ditahan polis di beberapa kampung dan pasar raya di bandar ini pada 10.30 malam hari yang sama.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut dan kini dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zulkipli berkata, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana pergaduhan menggunakan senjata yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:41 PM