KEDUA-DUA suspek (tengah) yang menyamun kedai 24 jam dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Dungun. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“AKU terpaksa, bukan aku nak buat sangat,” kata lelaki yang mengacu pisau ke perut seorang juruwang kedai serbaneka 24 jam dalam kejadian samun di Dungun, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, lelaki terbabit berusia 20 tahun sempat melarikan wang tunai RM81, namun akhirnya kecundang apabila dia dan rakannya berusia 22 tahun ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suspek sebelum itu masuk ke kedai berkenaan, manakala rakan jenayahnya menunggu dengan motosikal di luar premis.

Katanya, selepas menyamun di situ, suspek kemudian memasuki sebuah lagi kedai serbaneka 24 jam di Alor Tempoyak, Dungun pada 3.20 pagi.

“Suspek turut mengacukan pisau kepada jurujual itu, namun gagal mengambil wang tunai di dalam laci kaunter disebabkan sistem mesin wang tergendala, menyebabkan laci gagal dibuka.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Paka, kemudian melarikan diri dengan memecut motosikal,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Baharudin berkata, pihaknya yang menerima laporan, bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menahan kedua-dua suspek menerusi dua tangkapan berasingan dalam tempoh 24 jam.

“Seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan samun kedai serbaneka 24 jam sekitar Dungun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan melakukan rompakan serta samun bersenjata. Kedua-duanya ditahan reman selama enam hari,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:12 PM