KINOI berdiri di hadapan rumah baharunya yang masih dalam proses pembinaan, sumbangan Pusat Zakat Sabah. FOTO Rafiqah Dahali

Rafiqah Dahali

cnews@nstp.com.my

SEORANG nenek dari Kampung Belatik, Papar yang kehilangan rumah didiami bersama cucunya akibat kebakaran, Julai tahun lalu bakal memiliki rumah yang selesa tidak lama lagi.

Rumah berukuran 72 meter persegi (780 kaki persegi) itu dibina menerusi sumbangan Pusat Zakat Sabah (PZS) selepas agensi itu menerima maklumat berhubung keadaan dihadapi Kinoi Terawi, 66, yang kini tinggal di sebuah rumah sementara ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketika ditemui NSTP di kediaman sementaranya, Kinoi berkata, beliau dimaklumkan mengenai sumbangan berkenaan oleh pihak PZS pada Januari lalu, namun kerja pembinaan baru dimulakan pada awal bulan lalu dan dijangka siap pertengahan bulan ini.

“Wakil dari PZS datang pada Januari lalu dan memaklumkan bahawa saya akan diberikan sebuah rumah sumbangan agensi berkenaan. Sebelum itu, JKM Kota Kinabalu memberikan rumah sementara sebagai tempat tinggal kami sekeluarga.

“Rumah baharu sumbangan PZS itu dilengkapi empat bilik, satu tandas, satu bilik mandi dan dapur. Saya sangat bersyukur kerana nasib keluarga saya mendapat perhatian pelbagai pihak, termasuk PZS,” katanya.

Rumah sumbangan PZS itu dibina berhampiran rumah sementara ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang didiami Kinoi ketika ini.

Kinoi berkata, selepas rumah itu siap, beliau akan berpindah bersama anak dan cucu kecuali seorang anak lelakinya yang baru berkahwin dan akan terus tinggal di rumah ihsan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu bersama isterinya.

“Walaupun ada segelintir pihak tidak berpuas hati selepas berita mengenai musibah yang dihadapi kami sekeluarga tersebar di laman sosial Facebook, tetapi saya bersyukur dengan keprihatinan pelbagai pihak membantu kami,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, NSTP memaparkan kisah Kinoi mendiami khemah bersama 16 ahli keluarga, termasuk tujuh anak, seorang menantu dan lapan cucu yang merayu bantuan bagi membina rumah sempurna untuk mereka berteduh.

Kinoi bersama keluarga terpaksa tinggal dalam khemah di tapak rumah mereka yang terbakar sejak Julai 2017 kerana tidak mampu membina semula kediaman baharu, manakala ahli keluarga lain bekerja dengan gaji tidak seberapa dan sekadar cukup makan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 2:05 PM