Mayat Muhammad Nor Eyizhar terbujur kaku selepas motosikal yang ditungganginya bersama Muhammad Amirul terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


DUA sahabat maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 76, Jalan Jerangau - Jabor, dekat Stesen Jambatan Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan, Bukit Besi, di Dungun, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, Muhammad Nor Eyizhar Mohd Shukri, 16, dan Muhammad Amirul Nabil Sidek, 15, berasal dari Kampung Dendang, Dungun, maut di tempat kejadian.

Ketika kejadian, motosikal dinaiki mangsa yang dari arah Bukit Besi ke Jerangau berada di depan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux dalam arah yang sama.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Hilux itu terbabas ke kanan jalan lalu melanggar besi penghadang jalan sebelum sekali lagi terbabas ke kiri jalan dan merempuh motosikal mangsa.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, jenazah kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan pihak polis memaklumkan kejadian kepada keluarga kedua-dua mangsa.

“Lelaki yang memandu pacuan empat roda berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 8:11 PM