Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mempergiatkan pemantauan harga susulan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), hari ini.

Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan, pihaknya mendapati terdapat premis sudah melaksanakan SST dan masih ada premis yang belum berbuat demikian.

“Pemantauan KPDNHEP di beberapa premis makanan dan minuman mendapati ada premis yang hanya menampalkan notis bahawa pelanggan akan dikenakan SST dan ada juga premis yang menyerap terus SST pada harga dipamerkan.

“Berdasarkan Dasar Harga Terangkum (SPP), peniaga perlu serapkan SST dalam harga yang dipamerkan bagi mengelakkan kekeliruan. Pelanggan juga boleh melihat SST yang dikenakan di dalam resit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menjalankan pemantauan di sebuah pusat beli-belah di Seremban, hari ini.

Dalam pada itu, Ain turut mengingatkan peniaga supaya tidak mengenakan SST ke atas barangan dan perkhidmatan bagi stok sedia ada semasa Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar peratus.

Beliau berkata, pengguna juga berhak untuk melaporkan sebarang kenaikan harga yang mendadak dengan mengemukakan bukti seperti resit sebelum dan selepas pelaksanaan SST.

Katanya, peniaga yang dikesan menaikkan harga akan diberikan notis untuk mengemukakan justifikasi dan penjelasan mengikut Seksyen 21 Akta Mengenai Punca Kenaikan Harga yang tidak munasabah di pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:39 PM
AIN menunjukkan resit pembelian makanan di restoran ketika membuat tinjauan pelaksanaan SST dalam Ops Catut 5.0 di Seremban, hari ini. FOTO/VIDEO Hasiyasyah Sabudin