IBU bapa dan jururawat bersama bayi yang selamat dilahirkan pada Hari Kebangsaan 2018 di HRPB Ipoh.
Balqis Jazimah Zahari
cnews@nstp.com.my

Ipoh: “Syukur, saya tidak sangka dapat melahirkan bayi merdeka dan tepat pada jam 12 tengah malam pula,” kata Saniah Ismail, 28, yang menjadi seorang daripada ibu bertuah melahirkan bayi pada tarikh keramat itu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Saniah berkata, hasil perkahwinannya bersama suami, Mohd Ariff Fahmi, 29, dia selamat melahirkan anak ketiganya iaitu bayi lelaki dengan berat 3.23 kilogram (kg) di hospital berkenaan.

“Saya memang sudah berasa sakit sejak tiga hari lalu dan atas nasihat keluarga saya mengambil keputusan untuk datang ke hospital malam tadi.

“Saya dimasukkan ke wad pada jam 10 malam dan dua jam kemudian saya melahirkan anak. Saya berasa gembira dapat berkongsi rasa bertuah kerana dapat melahirkan anak pada tarikh penting negara,” katanya ketika ditemui di wad HRPB di sini, semalam.

Sementara itu, seorang lagi ibu bertuah, K Yogeswary, 28, berkata, penantiannya bersama suami, K Prakash, 32, selama dua tahun berbaloi dengan kelahiran bayi pertama pada saat hari bersejarah negara.

Katanya, anak perempuannya itu lahir pada jam 7.12 pagi dengan berat 2.69 kg dan bersalin secara normal.

“Saya terlalu gembira kerana sebelum ini saya tidak pernah memikirkan akan melahirkan bayi merdeka memandangkan tarikh jangkaan saya adalah pada 5 September ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 12 bayi terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan dilahirkan di HRPB bermula jam 12 tengah malam hingga 12 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:51 AM