ANGGOTA bomba melakukan siasatan kebakaran di sebuah flat di Jalan Pandan Indah, Ampang, hari ini.
Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my


PENDUDUK yang membantu memadam kebakaran dalam bilik di sebuah unit rumah pangsa di Jalan Pandan Indah, Ampang tidak menyangka terdapat mayat mangsa sehingga dimaklumkan pasukan bomba.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, kebakaran disedari seorang penduduk apabila ternampak kepulan asap keluar dari tingkap belakang rumah mangsa.

Jiran mangsa, Haidir Atan, 65, berkata dia sedang berehat dalam rumah lalu bergegas bersama beberapa penduduk mengetuk pintu rumah terbabit sebaik dimaklumkan kejadian, namun tiada yang menyahut.

Menurutnya, mereka mengambil keputusan memecahkan pintu rumah dan berusaha memadam api yang marak di sebuah bilik di bahagian belakang menggunakan air yang diangkut dengan baldi.

“Sementara menanti kehadiran pasukan bomba, lebih kurang 10 penduduk yang bertungkus-lumus berjaya memadam kebakaran daripada merebak dalam tempoh lebih setengah jam.

“Ketika sibuk memadamkan api, kami tidak perasan ada mayat (mangsa) di dalam bilik berkenaan sehinggalah dimaklumkan pihak bomba,” katanya.

Katanya, mereka mengenali mangsa dan abangnya yang menyewa di unit itu sejak awal tahun ini, selain mengetahui lelaki itu mempunyai masalah mental selepas dikatakan terbabit dalam satu kemalangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mangsa Taufiq Nizam Chng, 57, ditemui dalam keadaan rentung di dalam salah sebuah bilik di rumah terbabit.

“Mangsa adalah seorang pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Ampang dan ketika kejadian, abang mangsa berusia 60 tahun tiada di rumah.

“Siasatan awal oleh pasukan forensik kebakaran setakat ini tiada menunjukkan tanda ‘foul play’ (unsur jenayah) dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya.

Katanya, setakat ini punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

Berita berkaitan

Lelaki ditemui rentung dalam kebakaran

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 9:18 PM