Pegawai JHEAT bertanya kepada pasangan bukan muhrim (kanan) yang ditahan dalam sekatan jalan raya JPJ sempena Ops Ambang Merdeka 2018 di Jalan Sultan Mohamad, semalam. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim
cnews@nstp.com.my


“INI tunang saya, kami dah bertunang. Ini sepupu saya... ini adik saya.” Itu antara alasan popular pasangan kekasih bagi mengelak daripada dikenakan tindakan kerana membonceng motosikal melepasi jam 10 malam.

Dalam Operasi Ambang Merdeka 2018 dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Jalan Sultan Mohamad, Kuala Terengganu, malam semalam, seramai enam pasangan bukan muhrim berusia antara 18 hingga 28 tahun ditahan untuk pemeriksaan.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Nik Suhaiza Ismail berkata, semua pasangan terbabit ditahan dalam sekatan jalan raya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sehingga jam 1 pagi, hari ini.

Katanya, semua pasangan lelaki dan perempuan yang ditahan itu dikenakan tindakan mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

“Mengikut seksyen itu pesalah boleh dikenakan denda RM1,000 atau dua tahun penjara atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

“Namun, dalam operasi itu kita lebih kepada pencegahan dan pasangan yang ditahan diberikan notis hadir ke pejabat JHEAT bagi sesi kaunseling,” katanya.

Nik Suhaiza berkata, pasangan yang ditahan memberi pelbagai alasan bagi mengelak dikenakan tindakan dan ada antara mereka sanggup menyamar sebagai adik-beradik, selain mengaku mempunyai hubungan kekeluargaan termasuk sepupu, ibu atau bapa saudara.

Bagaimanapun katanya, helah pasangan kekasih itu gagal apabila pemeriksaan pada kad pengenalan menunjukkan mereka adalah pasangan bukan muhrim.

Katanya, JHEAT akan bekerjasama menjalankan operasi dengan pihak berkuasa lain bagi mengelak pasangan lelaki dan wanita berdua-duaan sama ada di tempat awam atau membonceng motosikal selepas jam 10 malam.

“Pencegahan ini bertujuan mengelak pasangan terbabit daripada terjerumus ke lembah maksiat seperti melakukan khalwat,” katanya.

Selain Kuala Terengganu, tiga pasangan bukan muhrim turut ditahan dalam operasi sama di Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:19 PM