NORAZELINA Awang Noh, 33, dari Kampung Anak Ikan, Besut (kiri) dan Norhazuanie Mohd Zain, 23, dari Kampung Felda Tersat,Ajil bersama anak mereka yang dilahirkan pada 31 Ogos di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my


“SELEPAS empat tahun menanti dan menghadapi pelbagai dugaan, akhirnya saya dikurniakan anak lelaki dan paling istimewa, bayi ini dilahirkan pada tanggal 31 Ogos sempena Hari Kemerdekaan negara," kata Norazelina Awang Noh, 33.

Wanita dari dari Kampung Anak Ikan, Besut, itu adalah seorang daripada 20 ibu bayi merdeka yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, setakat 3 petang ini.

Norazelina melahirkan bayi lelaki seberat 2.77 kilogram (kg) pada 12.01 tengah malam tadi, sekali gus menjadi bayi pertama dilahirkan pada tanggal 31 Ogos di HSNZ.

Norazelina berkata, dia tidak menjangka anak sulung hasil perkahwinannya dengan suami, Zainudin Arifin, 33, itu dilahirkan pada tarikh keramat itu.

"Jika diikutkan jangkaan pihak hospital, saya sepatutnya melahirkan bayi pada 9 September ini, tetapi bersyukur kerana proses melahirkan anak pertama tidak mengalami sebarang masalah dan lebih manis ia jatuh pada Hari Kebanggaan negara.

"Hanya Allah tahu perasaan saya dan suami. Kami terpaksa menanti empat tahun sebelum menyambut kelahiran anak pertama ini dan penantian berbaloi apabila bayi kami lahir pada 31 Ogos," katanya ketika ditemui di HSNZ di sini, hari ini.

Suaminya, Zainudin berkata, dia dan isteri sudah lama ingin menimang cahaya mata dan pelbagai usaha sudah dibuat untuk merealisasikan hasrat itu.

"Setiap hari kami mengerjakan solat hajat memohon dipermudahkan rezeki untuk memperoleh anak dan akhirnya hasrat itu tertunai juga. Empat tahun menanti dan perlu berdepan pelbagai soalan rakan dan saudara mengenai anak.

"Saya dan isteri berharap anak lelaki kami ini akan menjadi orang yang berguna, berkhidmat dan berjasa untuk masyarakat seiring tarikh kelahirannya," katanya.

Seorang lagi ibu bayi merdeka, Norhazuanie Mohd Zain, 23, dari Kampung Felda Tersat, Ajil, Hulu Terengganu berkata, dia sungguh bertuah kerana melahirkan anak kedua pada 31 Ogos.

"Saya melahirkan bayi perempuan seberat 2.5 kg itu pada 2.20 pagi dan semestinya anugerah ini sangat istimewa dan bermakna kerana dilahirkan pada tarikh kemerdekaan negara.

"Boleh dikatakan semua ibu bapa mengimpikan anak mereka lahir pada tarikh keramat ini. Saya dan suami, Abdul Rahmat Mohamad, 24, bercadang meletakkan nama bayi berkaitan dengan Hari Kemerdekaan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 4:06 PM