GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my

Tiga perompak bersenjatakan pistol dan parang melarikan beberapa dulang emas dianggarkan bernilai RM500,000 dalam rompakan kedai emas di sebuah pasar raya di Senawang, malam tadi.

Difahamkan, kejadian berlaku jam 8.30 malam ketika tiada pelanggan di kedai itu dan dua penjenayah masuk ke dalam premis, manakala seorang mengawal di luar premis.

Ketika kejadian, dipercayai pemilik kedai tiada dan hanya pekerja berada di dalam premis.

Seorang daripada suspek mengacukan pistol kepada pekerja terbabit dan mengarahkannya diam sebelum seorang lagi suspek memecahkan cermin pameran menggunakan parang dan mengambil beberapa dulang emas.

Ketiga-tiga suspek kemudian lari keluar dari pasar raya berkenaan dan menghilangkan diri.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 9:29 AM