GAMBAR hiasan.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


SINDIKET ‘Macau Scam’ semakin rancak mensasarkan golongan pesara sebagai mangsa penipuan mereka apabila dua pesara kerugian lebih RM300,000 selepas terpedaya dengan sindiket itu, semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah, berkata dalam kes terbaharu di daerah itu, dua pesara masing-masing berusia 60 dan 61 tahun kerugian RM195,000 dan RM133,700.

Beliau berkata, dalam kes pertama, pesara lelaki berusia 60 tahun itu kerugian RM195,000 selepas memindahkan wang ke akaun sindiket terbabit, kononnya bagi mengelak namanya disenarai hitam pihak polis.

“Suspek menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai unit semakan saman Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah, dan mendakwa mangsa kononnya disenarai hitam oleh polis kerana akaun banknya terbabit dengan sindiket jenayah.

“Suspek mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM19,300,” katanya kepada NSTP.

Beliau berkata, selepas panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, mangsa dimaklumkan bahawa kononnya akaun bank miliknya terbabit dengan kes penyeludupan dadah dan penggubahan wang haram.

Katanya, pegawai di ‘IPK Kedah’ itu kemudian meminta mangsa memindahkan semua wang simpanannya dari akaun Tabung Haji ke akaun bank lain milik suspek dan mangsa turut memberikan butiran bank kononnya untuk siasatan pihak Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Beberapa hari kemudian, mangsa menyedari ditipu selepas semakan pada penyata bank mendapati terdapat 18 pindahan wang atas talian daripada akaun bank miliknya kepada enam akaun bank tempatan berbeza,” katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua, Baharudin berkata, seorang pesara wanita berusia 61 tahun ditipu dengan tawaran penghantaran bungkusan sehingga mendorong mangsa memasukkan wang ke akaun pihak ketiga bagi tujuan itu.

Beliau berkata, mangsa mengalami kerugian RM133,700 selepas ditipu sindiket terbabit menerusi pemindahan wang ke akaun suspek.

“Kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Dungun dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 11:28 PM