FOTO Hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin
hanneeyzah@nstp.com.my


AKIBAT mencuri petai, dua sahabat terpaksa merengkok di penjara selama tiga bulan selepas dijatuhi hukuman itu oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Saipul Rozman Romeli, 40, dari Kampung Bukit Wan, Batu Rakit, Kuala Nerus dan Mohd Faizal Ibrahim, 30, dari Kampung Lingai, Batu Rakit.

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh mengaku salah terhadap pertuduhan mencuri dan didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Noradila mengarahkan hukuman berjalan dari tarikh hukuman dijatuhkan hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa mencuri 96 papan petai di kebun milik Wan Ahmad Fadil Wan Mamat, 31, di Bukit Terap, Batu Rakit, kira-kira 5 petang pada Sabtu lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Miky Dunstan Muda, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Saipul yang berbaju kemeja-T berbelang memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya dengan alasan mengalami patah kaki dan tulang rusuk.

Mengikut fakta kes, Wan Ahmad Fadil ke kebunnya pada petang kejadian sebelum ternampak seorang lelaki dikenali dengan nama Man sedang memungut dan mengikat petai di bawah pokok, manakala seorang lelaki masih berada di atas pokok petai.

Menyedari perbuatan mereka dihidu mangsa dan penduduk kampung itu, dua sahabat berkenaan kemudian cuba melarikan diri.

Namun, Mohd Saipul Rozman yang juga bekas anggota polis kemudian berjaya ditahan dan dibelasah penduduk kampung yang berang dengan perbuatannya menyebabkan dia mengalami patah kaki dan tulang rusuk.

Mohd Faizal kemudian ditahan oleh anggota polis 6.15 petang di tepi jalan di Kampung Lingai dan turut merampas 96 papan petai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 6:30 PM