KOMPONEN dan enjin motosika yang ditemui dalam serbuan ke atas ahli Geng Saujana.
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my

Subang Jaya: Tubuh kumpulan penjenayah profesional diberi nama Geng Saujana khusus untuk menjalankan kegiatan mencuri pelbagai model motosikal.

Suspek membabitkan empat lelaki berusia antara 15 hingga 23 tahun itu dikesan menjadikan motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan akibat kemalangan dan diletakkan di kawasan parkir pangsapuri sebagai sasaran.

Kumpulan itu bagaimanapun tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan di Taman Saujana Puchong di sini, pada jam 3.30 petang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas sebuah motosikal, 29 komponen pelbagai motosikal, 12 rangka dan enam enjin.

“Rampasan itu dipercayai hasil kegiatan geng berkenaan yang dipercayai aktif mencuri motosikal di sekitar Lembah Klang sejak lima tahun lalu.

“Modus operandi geng ini adalah menyasarkan motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan akibat kemalangan dan menjadikan kawasan tempat letak motosikal di pangsapuri sebagai lubuk melakukan jenayah,” katanya.

Mohammad Azlin berkata, suspek akan menunda motosikal yang dicuri itu sebelum meleraikan komponen kenderaan untuk dijual.

“Semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau.

“Hasil penahanan suspek, kami yakin menyelesaikan 12 kes curi motosikal yang dilaporkan sejak 2013 sehingga kini.

“Suspek direman empat hari bermula 25 hingga 28 Ogos sebelum reman disambung semula hingga 30 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:25 PM