TINJAUAN minuman ringan di pasaraya di Pantai Dalam. FOTO Aswadi Alias
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my


KERAJAAN diminta mengkaji semula cadangan pelaksanaan cukai minuman ringan atau soda kerana ia dikhuatiri tidak membantu menyelesaikan masalah kesihatan di negara ini sebaliknya hanya memberi kesan terhadap individu berpendapatan rendah.

Pengerusi Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS), Dr Zaki Zamani Abdul Rashid berkata, pihaknya percaya masalah kesihatan tidak akan dapat diselesaikan dengan kaedah pengenalan cukai sebaliknya ia memerlukan program pendidikan dan kesedaran yang berterusan.

Beliau berkata, cukai soda adalah satu bentuk cukai regresif iaitu kadarnya akan menurun apabila pendapatan negara meningkat, sekali gus dibimbangi mempunyai kesan lebih besar terhadap individu berpendapatan rendah daripada mereka bergaji tinggi.

"Pengenalan cukai rokok sebelum ini ternyata tidak berjaya menyelesaikan masalah pengambilan bahan itu dalam kalangan rakyat.

"Malah ada kajian di Amerika Syarikat yang menyatakan cukai soda tidak membantu dalam perubahan gaya hidup sihat. Cukai rokok pun terbukti gagal menghalang orang dari merokok.

"Jadi kita kena tahu matlamat kerajaan sebenarnya semata-mata mengutip cukai atau mahu menggalakkan gaya hidup sihat, " katanya ketika ditemui di Alor Setar.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengesahkan kerajaan sedang mempertimbangkan cukai minuman ringan bagi membendung masalah kesihatan.

Dasar itu dipromosikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi membendung kegemukan, kencing manis dan masalah lain berkaitan gula.

Pada masa sama, Zaki Zamani berkata, rakyat berkemungkinan beralih kepada minuman bergula lain seperti teh tarik dengan penurunan harga gula yang dilaksanakan kerajaan kini.

Justeru katanya, masalah kesihatan memerlukan program pendidikan yang berterusan untuk membendungnya dalam jangka masa panjang.

"Selain itu, saya melihat tindakan kawalan terhadap jualan minuman soda dan rokok kepada kanak-kanak adalah lebih utama.

"Namun jika kerajaan tetap berhasrat untuk meneruskan juga pelaksanaan cukai terbabit, saya berharap hasilnya akan diperuntukkan untuk pelaksanaan program kesedaran kesihatan, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 12:11 PM