JENAZAH Mazlan (gambar kecil) ditutup dengan kain sebelum dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“ARWAH tiba-tiba rebah ketika sedang mengambil servis,” kata Rohaizat Abdul Latif, 57, rakan kepada Mazlan Embong, 57, kakitangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang meninggal dunia ketika bermain badminton, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 petang, Mazlan yang juga Ketua Teknikal (Pembahagian) TNB Dungun, bermain badminton bersama tiga rakannya di Dewan Badminton TNB di Jalan Nibong, Dungun.

Rohaizat berkata, mereka baru saja bermain selama 15 minit sebelum kejadian tidak diduga itu berlaku ke atas mangsa yang berasal dari Kampung Gong Pasir.

“Saya dan rakan lain bergegas mendapatkan arwah yang ketika itu sudah tidak sedarkan diri.

“Kami mengangkat arwah ke tepi dan segera memberi CPR (bantuan penafasan) dan menghubungi talian kecemasan,” katanya.

Menurutnya, kakitangan perubatan yang tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Katanya, tiga minggu lalu arwah pernah mengalami kejadian seperti itu, tetapi berjaya diselamatkan selepas dikejarkan ke hospital.

“Selepas kejadian itu, arwah tidak lagi bermain sehinggalah hari ini dia datang untuk bermain secara beregu dengan kami. Malangnya, kali ini dia tak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut dan jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada keluarga mangsa untuk urusan pengebumian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:14 PM