PUSAT jagaan dikendalikan tiga wanita yang ditahan susulan laporan penghuni mendakwa bayi yang baru dilahirkannya diserahkan kepada keluarga angkat tanpa kerelaannya. FOTO Mahzir Mat Isa
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


“SAYA ingatkan pusat jagaan itu (di Bukit Beruntung) menjalankan perniagaan pemeriksaan kesihatan berikutan selalu nampak jururawat keluar dan masuk premis berkenaan.”

Itu reaksi mekanik premis servis kereta yang terletak bersebelahan pusat jagaan itu, Siew Chee Ming, 40, ketika ditanya berhubung operasi pusat jagaan dikendalikan tiga wanita yang ditahan polis, semalam, selepas dipercayai menjalankan operasi perniagaan tidak sah.

Pada masa sama, Chee Ming, berkata, penjaga premis itu tidak pernah mengambil inisiatif untuk menegur dan bertanya khabar kepada peniaga serta penjual di kawasan sekitar.

"Mereka kurang bercakap, tidak peramah.

"Saya pernah tanya mengenai operasi perniagaan mereka, mereka ada sebut mengenai kesihatan, butiran lanjut mereka tidak mahu beritahu dan terus berlalu pergi.

"Saya pun tidak ambil tahu selepas itu, kadang-kala nampak mereka beli barang, saya cakap ‘hi’ mereka cakap ‘hi’ balik. Itu sahaja," katanya ketika ditemui di Bukit Beruntung, hari ini.

Sementara itu, pemilik premis aksesori motosikal berdekatan yang enggan dikenali berusia lingkungan 50-an, berkata, pusat jagaan itu sudah menjalankan operasi perniagaan sejak tahun lalu.

"Mereka banyak buat hal sendiri, jalan pun tunduk sahaja.

"Saya tidak masuk campur dalam hal mereka tetapi ketika saya nak buka kedai kira-kira jam 10 pagi semalam, saya ternampak beberapa anggota polis serbu premis itu.

"Tilam, selimut premis itu diangkut polis berkenaan," katanya.

Semalam, tiga wanita itu ditahan susulan laporan seorang penghuni mendakwa bayi yang baru dilahirkannya diserahkan kepada keluarga angkat tanpa kerelaannya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, suspek berusia antara 25 hingga 55 tahun dipercayai pemilik dan penjaga pusat jagaan itu.

Berita berkaitan:

'Mudahnya, kau ambil bayi aku?'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:48 PM