ROHAIZI (kanan) bersama pegawainya menunjukkan pasport dan pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu yang dirampas dalam serbuan di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, semalam. FOTO Ihsan TV3
Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


JABATAN Imigresen Malaysia merampas 17 pasport Bangladesh susulan penahanan seorang lelaki warganegara itu yang dipercayai terbabit memalsukan pas lawatan kerja sementara (PLKS) dalam serbuan di sebuah kedai di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, semalam.

Pengarah JIM Johor Datuk Rohaizi Bahari berkata, suspek ditahan Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dalam Ops Serkap pada jam 4.35 petang berdasarkan maklumat.

Katanya, serbuan dilakukan sepasukan pegawai Unit ATIPSOM yang diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Amir Syamri Mat Ripin hasil risikan selama sebulan ke atas premis itu.

“Lelaki warga Bangladesh itu disyaki menjadi dalang pemalsuan dokumen imigresen. Dalam serbuan itu, kita merampas 17 pasport Bangladesh, wang tunai berjumlah RM1,800, seunit komputer riba dan mesin pencetak.

“Turut dirampas sejumlah kunci rumah dan pejabat, tiga unit telefon pintar, satu cap syarikat dan satu cop kedutaan Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rohaizi berkata, suspek memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial sebelum bertindak membuang pasport dan membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen itu.

“Sebaik membuat pasport baru, ia kemudian diserahkan kepada pihak terbabit untuk ditampal pas lawatan kerja sementara (PLKS),” katanya.

Katanya, pelekat yang sah kemudian dibuat salinan kepada PLKS yang akan dipalsukan dengan hanya menukarkan gambar orang yang membuat permohonan baru.

“PLKS yang terdapat dalam pasport itu seolah-olah seperti yang sah kerana maklumatnya adalah sah. PLKS yang dipalsukan dikenakan bayaran sehingga RM10,000 bagi setiap pas,” katanya.

Katanya, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan dua lagi warga Bangladesh kerana melakukan kesalahan mengikut akta imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 8:43 PM