MAS HAINI ketika dibawa ke mahkamah, hari ini.
Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my

SEORANG pengasuh dihadapkan di Mahkamah Majistret Butterworth, hari ini kerana mencederakan bayi lelaki berusia 10 bulan dengan mencubit dada mangsa, minggu lalu.

Mas Haini Mohd Zaini, 33, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu terhadap bayi lelaki itu di ruang tamu sebuah rumah di Kepala Batas, dekat Butterworth, pada 9.30 pagi, 20 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nor Aziah Hasan, manakala tertuduh di wakili peguam, Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Nor Aziah meminta mahkamah menetapkan jaminan RM6,000.

Mas Haini, bertudung biru dan berbaju hitam, memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai dua anak dan hanya suaminya yang mempunyai pekerjaan tetap.

Che Rohana menetapkan ikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan 28 September untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 12:47 PM