Nik Sukry Ramli
niksukry@bh.com.my

Kuantan: Bekas pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan di sini, semalam terhadap tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM23,400 pada November 2013.

Hakim Dazuki Ali kemudiannya membuat keputusan tertuduh, Abu Zahrim Ismail, 45, dihukum penjara selama empat tahun dan didenda RM117,000 atau tambahan hukuman penjara 10 bulan sekiranya gagal membayarnya.

Keputusan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Penguasa Taman Negara, Jerantut dengan niat memperdaya Ketua Pengarah PERHILITAN apabila membuat tuntutan palsu atas nama Baraplas Kreatif Enterprise pada 28 November 2013.

Tuntutan palsu itu membabitkan pembelian 28 unit beg sandang bersaiz 75 liter jenama Deuter dan 60 unit drypack 30 liter.


ABU Zahrim dijatuhkan hukuman penjara dan denda atas kesalahan mengemukakan tuntutan palsu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.

Mahkamah membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara bagi memberi peluang mengemukakan rayuan hukuman di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun, tertuduh perlu membayar denda ditetapkan semalam juga selepas rayuan menangguhkan bayaran denda ditolak Hakim Dazuki dengan mengambil kira tempoh perbicaraan kes itu yang sudah berlanjutan sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Ogos 2018 @ 10:59 AM