Wartawan NSTP

FOREST City mematuhi semua undang-undang dan peraturan dengan kelulusan yang diperlukan untuk dijual kepada pembeli warga asing sama seperti semua projek pembangunan hartanah di negara ini.

Mengikut Seksyen 433B Kanun Tanah Negara, warga asing atau syarikat asing boleh memperoleh tanah di Malaysia, tetapi tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dulu.

Pemajunya, Country Garden Pacificview Sdn Bhd menegaskan, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang Pemastautin Tetap (PR) kepada pembeli asing di Forest City.

“Kami kini berhubung dengan Pejabat Perdana Menteri untuk penjelasan, kerana kami percaya kenyataan (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) mungkin diambil dari luar konteks dalam laporan media tertentu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pemaju hartanah itu berkata, komen hari ini tidak senada dengan kandungan pertemuan antara Dr Mahathir bersama Pengasas dan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung.

“Mereka mengadakan pertemuan tertutup selama 40 minit dengan Tun Dr Mahathir pada 16 Ogos 2018, sebelum lawatannya ke Beijing.

“Semasa mesyuarat itu, Tun Dr Mahathir mengulangi bahawa beliau mengalu-alukan pelaburan asing yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan, menggalakkan pemindahan teknologi dan inovasi yang dapat memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dan penciptaan pekerjaan,” katanya.

Berita berkaitan

Rakyat asing tak boleh beli kediaman Forest City

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:35 PM