HABIBI bersama pegawainya menunjukkan senjata api tiruan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Edmund Samunting
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@nstp.com.my


SEORANG lelaki ditahan kerana didapati memiliki tiga senjata api tiruan susulan pergaduhan di sebuah pusat hiburan di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, polis menerima laporan bahawa suspek, 20, bergaduh dengan seorang pelancong pada jam 4 pagi di sebuah pusat hiburan.

Menurutnya, suspek dipercayai mabuk kemudian menayangkan senjata api ke arah udara hingga menimbulkan ketakutan orang awam,.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada dua lagi penemuan senjata api di dalam kenderaan dan rumah suspek di Jalan Kolam.

“Siasatan turut mendapati suspek berada di bawah pengaruh dadah dan didapati positif dadah jenis ganja. Suspek direman untuk siasatan lanjut berhubung motif memiliki tiga senjata tiruan itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1980 kerana memiliki senjata tiruan tanpa kebenaran yang sah di sisi undang-undang dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Geng Ramos yang disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah rumah di sekitar Inanam, Kota Kinabalu tumpas selepas lima ahlinya ditahan polis, Jumaat lalu.


HABIBI menunjukkan gambar Raimon yang diburu bagi siasatan kes pecah rumah. FOTO Edmund Samunting

Habibi berkata, kumpulan yang aktif sejak awal tahun ini dianggotai enam ahli dan setakat ini lima suspek berusia 23 hingga 30-an berjaya ditahan.

“Tangkapan dibuat antara jam 12 tengah malam hingga 6 pagi iaitu membabitkan tangkapan pertama di kawasan stesen minyak di Inanam disusuli empat lagi suspek pada hari sama,” katanya.

Katanya, hasil siasatan mendapati kumpulan itu menyasarkan rumah yang ditinggalkan oleh penghuni untuk dipecah masuk bagi mencuri barang berharga.

“Mereka akan meninjau rumah yang ditinggalkan terlebih dahulu sebelum memecah masuk pada waktu malam.

“Geng ini menggunakan gergaji untuk memecah masuk rumah mangsa dan barang-barang berharga akan dicuri serta dijual manakala hasilnya digunakan bagi membeli dadah untuk kegunaan sendiri,” katanya.

Katanya, polis mengesan ketua kumpulan itu dikenali sebagai Raimon Mawang berusia 26 tahun beralamat di Kampung Pulutan, Manggatal untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 10:10 PM