ANGGOTA APM memotong pokok kelapa yang tumbang menghempap rumah Rosmawati. (Gambar kecil) Rosmawati menunjukkan bumbung rumahnya yang diterbangkan angin. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“SAYA berlari mencari ayah selepas pokok kelapa menimpa rumah. Mujur ketika itu ayah sempat keluar, kalau tidak tentu akan mendapat kecelakaan,” kata Rosmawati Mat Ghani, 39, selepas rumahnya rosak teruk dalam kejadian ribut di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku pada 6 petang ketika dia bersama dua adik berada di luar rumah.

“Ketika kami bersembang, tiba-tiba kilat sabung menyabung disusuli angin kencang dan hujan lebat yang pada mulanya menerbangkan beberapa keping atap rumah.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar dentuman kuat di bahagian belakang rumah. Sebaik masuk saya lihat sebatang pokok kelapa menghempap rumah kami,” katanya.

Rosmawati berkata, ketika kejadian ayahnya Abd Ghani Mat Adam, 66, sedang tidur di dalam rumah, tetapi sempat bangun dan keluar dari bilik itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) AMBS, Jaswari Awang berkata, sebanyak 134 rumah rosak dibadai ribut dalam kejadian itu.

Beliau berkata, antara kawasan terbabit adalah 29 rumah di Taman Indah, Taman Madani (12), Taman Abadi (17), Taman Mulia (lapan), Taman Setia (51) dan di Taman Bakti (17).

Katanya, selain itu, tiga rumah rosak akibat ditimpa pokok.

“Kejadian ribut itu menyebabkan 21 batang pokok tumbang dan menutup jalan keluar masuk rumah penduduk di kawasan terjejas.

“Seramai 15 anggota bomba dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berusaha mengalihkan pokok yang menimpa rumah penduduk.

“Kami turut mengalihkan 21 batang pokok tumbang yang menutup laluan masuk penduduk dan kerja terbabit selesai 2 petang hari ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata semua rumah penduduk terbabit berstatus sewa beli daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 40 rumah selesai urusan sewa beli dan menerima geran daripada KETENGAH.

“Kami sudah dan sedang membaiki 40 kediaman itu dengan peruntukan RM20,000 untuk setiap unit menerusi dana Tabung Darul Iman manakala rumah lain akan diuruskan KETENGAH.

“Dalam kejadian ribut minggu lalu pula, 33 rumah di Jerangau Sungai mengalami kerosakan.

“Semalam baru siap kerja membaiki semua rumah terbabit dan petang semalam kita dikejutkan pula dengan kejadian sama berlaku di AMBS,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak antaranya bomba, polis, APM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang komited dan menghulurkan bantuan dengan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 9:14 PM