WAN Azizah di majlis pelancaran buku Anwar Return The Final Twist The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim di Hilton Kuala Lumpur. Foto NSTP/ZUNNUR AL SHAFIQ
Rohaniza Idris dan Veena Babulal
cnews@nstp.com.my


PRESIDEN PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, tiada masalah untuk Rafizi Ramli bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu.

Namun, katanya kedudukan sama ada Rafizi yang juga Naib Presiden PKR layak bertanding atau tidak terpulang kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR .

“Daripada segi parti tiada masalah untuk Rafizi bertanding,” katanya ditemui di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar yang mendakwa PKR berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana membenarkan Rafizi bertanding.

Ini kerana peraturan parti itu tidak membenarkan mana-mana ahli yang didapati bersalah oleh mahkamah bertanding pada pemilihan parti.

Menurut laporan itu, bekas Ahli Parlimen Pandan juga mendakwa beliau telah diberi kebenaran istimewa oleh ROS untuk bertanding.

Wan Azizah berkata, keputusan untuk membatalkan parti itu bergantung kepada keputusan ROS.

“Terpulang kepada ROS ikut cara mana mahu tentukan sama ada PKR dibatal pendaftaran atau tidak.

“Ini kerana Rafizi sepatutnya tidak mempunyai apa-apa sabitan, beliau tidak bersalah, jadi apa salahnya beliau bertanding,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Rafizi kerana mendedahkan penyata akaun bank berkaitan anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail pada 2012.

Bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad turut dijatuhkan hukuman penjara sama kerana bersubahat dengan Rafizi.

Mereka didapati bersalah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi masih menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Beliau tidak dapat menyertai pilihan raya umum 9 Mei lalu disebabkan sabitan itu kerana Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Ahli Parlimen hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Sementara itu, Setiausaha JPP PKR, Ismail Yusoff berkata pihaknya akan meneliti perkara itu.

“Selain daripada JPP, turut terbabit dalam menyaring adalah Jawatankuasa Rayuan, Bantahan dan Disiplin (JRBD). Setakat ini saya tidak tengok lagi dokumen berkaitan isu Rafizi ini .

“Di dalam peruntukan peraturan pemilihan menetapkan mana-mana individu yang terbabit kes-kes mahkamah memang dilarang, melainkan dapat pengecualian.

“Kami akan melihat perkara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 6:22 PM