Mohd Rizal Abdullah
mohd.rizal@nstp.com.my

LELAKI cedera dibelasah sekumpulan lelaki selepas meminta pampasan 'putus cinta' daripada bekas kekasih teman wanitanya, di Miri, Isnin lalu.

Dalam kejadian 7 malam di Taman Awam Miri itu, mangsa mengalami lebam pada muka selepas dibelasah lapan lelaki.

Sumber memberitahu NSTP, sebelum kejadian, teman wanita mangsa meminta wang RM1,800 daripada bekas teman lelakinya.

Katanya, wang itu kononnya sebagai pampasan selepas mereka tidak lagi menjalinkan hubungan sebagai kekasih.

Katanya, wanita terbabit kemudian meminta bantuan daripada mangsa yang juga teman lelaki barunya untuk mengambil wang berkenaan.

“Bagaimanapun, ia berakhir dengan lelaki itu pula dibelasah sekumpulan lelaki termasuk bekas teman lelaki kepada kekasihnya,” katanya kepada NSTP.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri berhubung kejadian itu.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 4:51 PM