RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tengah) berkenan merasmikan bengkel usahawan asnaf bimbingan Akademi Transformasi Asnaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (ATAM - MAIPs) Nafas Abadi Tradisional di Kampung Kurung Batang, semalam. Foto NSTP/IHSAN ISTANA ARAU
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


GOLONGAN asnaf digalak menceburi bidang keusahawanan bagi membolehkan mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, menjadi harapan baginda melihat golongan asnaf terbabit suatu hari nanti dapat keluar dari senarai penerima zakat.

"Beta berharap lebih banyak golongan asnaf di Perlis dapat menceburkan diri dalam bidang keusahawanan supaya dapat mempertingkatkan taraf kehidupan masing-masing.

"Dalam hal ini, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Orang Melayu Perlis (MAIPs) sedia membantu dan mengalu-alukan golongan asnaf yang bercita-cita mengubah diri mereka daripada penerima zakat menjadi penyumbang zakat," titahnya.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan bengkel usahawan asnaf anjuran Akademi Transformasi Asnaf MAIPs di Kangar, semalam.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada program itu, asnaf dilatih Perusahaan Nafas Abadi Tradisional bagi mengeluarkan pelbagai produk tempatan dan kuih tradisional seperti batang buruk, putu kacang, loyang, bahulu dan kuih kapal terbang sejak 2006 lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 2:08 PM