KEADAAN kereta mangsa. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my

WANITA maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan bas ekspres di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Gua Musang, hari ini.

Dalam kemalangan 6.15 pagi itu, mangsa, Nur Syazwani Mohd Hanapi, 26, dan berasal dari Taman Murni Kok Lanas, Kota Bharu.

Adik wanita itu yang juga penumpang kereta berkenaan, Muhammad Syazwani, 25, turut cedera.

Bagaimanapun, dua pemandu bas bersama 42 penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, ketika kejadian, bas terbabit dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai.

Beliau berkata, kereta yang dinaiki mangsa bersama adiknya pula dari arah bertentangan.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, kereta dinaiki mangsa cuba memotong sebuah treler tetapi gagal.

Berikutan itu, katanya, kereta yang dipercayai dipandu laju itu bertembung dengan bas ekspres terbabit.

"Ia menyebabkan bas itu terbabas dan terbalik di dalam longkang," katanya.

Mohd Taufik berkata, Nur Syazwani meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.

Katanya, adik mangsa dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 11:20 AM