Rozdan Mazalan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Penghuni rumah kebajikan, persatuan ibu tunggal dan asnaf kategori miskin antara tetamu program ibadat korban anjuran Badan Khairat New Straits Times Press (NSTP) di sini, semalam.

Kehadiran mereka memeriahkan lagi program yang disempurnakan majlis perasmiannya oleh Ketua Pegawai Eksekutif, The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Datuk Seri Abdul Jalil Hamid.

Sebanyak empat lembu dan dua kambing dikorbankan pada majlis yang diadakan dengan kerjasama Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) dan Adabi Consumer Industries bagi meraikan golongan asnaf sekitar Kuala Lumpur yang sudah memasuki tahun ke-10 penganjurannya.

Eksekutif Agama Media Prima Berhad, Zamanuddin Jusoh berkata, majlis diadakan setiap tahun itu bertujuan sebagai tanda kesyukuran kakitangan dan pada masa sama meraikan golongan kurang bernasib baik.


SUKARELAWAN bergotong-royong melapah daging korban.

“Tahun ini, kita mengenal pasti tiga kumpulan penerima sumbangan membabitkan penghuni rumah anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin yang dipilih sekitar Kuala Lumpur.

“Semua penerima sumbangan iaitu dari Rumah Anak Yatim Titian Kasih Titiwangsa, Rumah Kasih Sayang Bandar Tasik Puteri dan Maahad Tahfiz Daru Furqan serta lima ibu tunggal dan enam fakir miskin menerima daging korban, beras, barang dapur dan wang tunai.

“Seperti tahun sebelumnya, majlis bermula dengan melapah daging korban dan memasak bersama-sama dengan 50 sukarelawan bertujuan mengeratkan silaturahim bersama-sama insan diraikan,” katanya.

Sumbangan beras disampaikan Pembantu Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat BERNAS, Mohd Zulhelmy Ismail.


ABDUL Jalil (tengah) bersama peserta program ibadah korban di Balai Berita, Bangsar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 2:27 AM