Norzamira Che Noh
cnews@nstp.com.my


KAPAL mewah, Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low dikawal rapi oleh pihak berkuasa.

Malah, tinjauan NSTP ke terminal Boustead Cruise Centre di Pelabuhan Klang untuk melihat kapal mewah itu dengan lebih dekat, gagal kerana difahamkan tiada individu dibenarkan masuk kecuali pihak berkuasa yang bertugas sahaja.

Pintu masuk hadapan ke terminal kapal persiaran itu ditutup dan difahamkan, Equanimity kini dikawal pihak polis serta tentera.

Bagaimanapun, aktiviti pelancongan kapal persiaran di terminal itu berjalan seperti biasa dan van yang membawa pelancong dibenarkan keluar masuk.

Semalam, Mahkamah Tinggi (Bahagian Admiralti) membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia dan tiga lagi untuk menjual kapal mewah berkenaan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan bagi mendapatkan perintah penilaian dan penjualan dikemukakan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dua subsidiarinya Global Investment Limited serta Energy Holdings Limited mengikut Perintah 29 Aturan 4 Kaedah Mahkamah 2012.

Keempat-empat pihak selaku plaintif memfailkan permohonan untuk membuat penilaian terhadap aset itu dan menjualnya segera ketika prosiding mahkamah mengenainya masih berlangsung.

Kapal mewah itu dibawa pulang ke Malaysia pada 7 Ogos lalu dan ditempatkan di Boustead Cruise Centre, selepas kerajaan Indonesia menyerahkan kapal itu atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Dr Mahathir sebelum ini menjelaskan jika Malaysia tidak menjual Equanimity dengan segera, kerajaan terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM2 juta sebulan hanya untuk kos penyelenggaraan bagi memastikan kapal itu berada dalam keadaan terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 9:33 PM
BOUSTED Cruise Centre, Pulau Indah, Pelabuhan Klang ditutup kepada orang awam berikutan kapal mewah Equanimity yang didakwa milik ahli perniagaan Jho Low akan dijual pada lelongan awam. FOTO Faiz Anuar.