BOT nelayan kelas C yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kedah kira-kira pada jarak 7.5 Batu Nautika Barat Daya Kuala Kedah atas kesalahan melanggar syarat leseniaitu permit kerja tamat tempoh di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Suzalina Halid
suzalina@nstp.com.my


PADAH melanggar syarat lesen, tiga nelayan warga Thailand bersama kira-kira 3,000 kilogram (kg) hasil tangkapan mereka bernilai lebih RM2,400, ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Kuala Kedah, dekat Alor Setar, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, tiga nelayan berusia antara 20 hingga 36 tahun itu sedang melakukan kerja menangkap ikan di atas bot nelayan kelas C sebelum bot APMM mengesan kedudukan mereka di 7.5 batu nautika dari Kuala Kedah, dekat sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, hasil pemeriksaan, ketiga-tiga nelayan itu disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu permit kerja tamat tempoh mengikut Seksyen 8(b) Akta perikanan 1985.

"Susulan itu, bot terbabit yang membawa kira-kira 3,000 kg ikan campur ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya melalui kenyataan, di sini tadi.

Beliau berkata, pihaknya berharap orang ramai memberi kerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang Maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Katanya, sebarang aduan dan kecemasan di laut, hubungi talian 24 jam 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 11:32 AM