LOW Taek Jho atau Jho Low. FOTO Ihsan Twitter Low Taek Jho
Faris Fuad
faris.fuad@nstp.com.my


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengemukakan permohonan notis merah daripada Interpol bagi mengesan dan menangkap ahli perniagaan Low Taek Jho dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ia bagi membolehkan proses membawa mereka pulang ke negara ini untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM sudah menjalankan siasatan terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atas pelbagai kesalahan jenayah.

“Ia termasuk transaksi kewangan dan urus niaga yang dijalankan syarikat berkenaan.

“Hasi siasatan polis juga sudah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara dan keputusan sudah dibuat untuk mengenakan pertuduhan terhadap dua individu terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Taek Jho atau Jho Low dan bapanya masing-masing menghadapi lapan dan satu pertuduhan di atas kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AKTA 613).

Terdahulu, Jho Low dilaporkan menyifatkan pelbagai tuduhan yang dikenakan terhadapnya sebagai percubaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengalih perhatian masalah yang timbul sebaik merampas kapal layar mewah, Equanimity.

Jurucakap mewakili Jho Low, Benjamin Haslem, turut menempelak tindakan kerajaan yang membuat permohonan mahkamah untuk menjual kapal layar mewah berharga RM1 bilion itu tanpa cuba mengesahkan pemilikan kapal layar menerusi lunas undang-undang sewajarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 6:52 PM