ANGGOTA Bomba memberi bantuan kepada wanita yang cedera selepas terjun dari bumbung kilang di Demak, dipercayai untuk membunuh diri. FOTO Ihsan Bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@nstp.com.my


NEKAD terjun dari ketinggian 5.4 meter kerana dipercayai mahu membunuh diri, wanita cedera dalam kejadian di Demak, Kuching, malam tadi.

Kejadian kira-kira 11, wanita berusia 43 tahun terbabit dilihat berada di kawasan bumbung kilang oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian kepada bomba dan polis untuk tindakan lanjut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.12 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, wanita terbabit terjun dari ketinggian 5.4 meter sebelum pasukannya tiba di lokasi.

"Wanita terbabit mengalami kecederaan di bahagian badan dan diberi rawatan awal oleh Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS).

"Selepas keadaan stabil, wanita terbabit di hantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya," katanya, hari ini.

Ling Hii berkata, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya 11.41 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 2:37 PM