ORANG ramai melihat pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat tiga sahabat yang hilang di pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam. Gambar kecil (dari atas) Khairil Ikmal Danial, Shahrir Aqil (tengah) dan Ahmad Daniel. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“NAK gugur jantung saya selepas mendapat panggilan memaklumkan anak dikhuatiri lemas di laut lalu segera memecut kereta pulang ke Kemaman,” kata Zamzuradi Othman, 46.

Bapa kepada Khairil Ikmal Danial, 19, yang lemas bersama dua lagi rakannya ketika mandi di Pantai Teluk Kalong, Kijal, Chukai, semalam, berkata dia sudah melarang anaknya ke pantai itu selepas Khairil Ikmal meminta izin untuk pergi memancing di situ.

“Saya sudah larang dia ke pantai itu kerana tahu banyak kes lemas berlaku di situ, namun dia hanya membalas dengan senyuman,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, anaknya yang juga pelajar Politeknik Kok Lanas, Kelantan diminta duduk di rumah kerana dia dan isteri perlu menghadiri kenduri kesyukuran keluarga di Kuala Terengganu.

“Saya dan isteri bertolak ke Kuala Terengganu dan tidak menyangka dia pergi berkelah bersama rakannya di situ.

“Saya terkejut apabila menerima panggilan daripada seorang rakan memaklumkan anak saya lemas di pantai itu,” katanya.

Katanya, sepanjang pulang bercuti, Khairil Ikmal tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

“Saya berdoa semoga Allah selamatkan Khairil Ikmal dan dia ditemui selamat. Namun jika sebaliknya, siapalah kami untuk menafikan takdir Ilahi,” katanya.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Khairil Ikmal Danial bersama Ahmad Daniel Firdaus Zubir, 19, dan Shahrir Aqil Shahrun, 19, hilang ketika mandi bersama rakan lain di pantai itu.

Berita berkaitan

[UPDATE] Terkilan gagal selamat rakan

Tiga sahabat hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Ogos 2018 @ 1:10 AM