KEADAAN jalan yang menghubungkan rumah kakitangan Lafarge Cement Sdn Bhd, Telok Ewa, Langkawi runtuh akibat banjir, awal pagi hari ini. FOTO Ihsan Telegram Laporan Kemalangan Langkawi
Hamzah Osman
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 159 mangsa daripada 33 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Teriang, Langkawi selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat dan ribut sejak petang semalam.

Antara kawasan terjejas berikutan dinaiki air sejak jam 5.30 pagi hari ini ialah Kampung Temonyong, Kuala Teriang, Kuala Melaka, Kubang Badak dan Teluk Yu.

Manakala, jalan yang menghubungkan rumah kakitangan Lafarge Cement Sdn Bhd di Teluk Ewa turut terputus akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, semua mangsa terbabit dipindahkan ke pusat penempatan sementara di SK Kuala Teriang untuk tindakan lanjut.

“Bilik Gerakan Bencana (BGB) juga dibuka di Pejabat Daerah Langkawi untuk menyelaras kerja menyelamat mangsa dan memberikan bantuan kecemasan.

“Mana-mana individu atau syarikat korporat yang ingin menghulurkan bantuan, boleh menghubungi BGB untuk penyelarasan,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 24 rumah, 10 kereta dan dua motosikal rosak dalam kejadian ribut membabitkan beberapa kampung di Langkawi.

Antara kampung yang teruk dilanda ribut ialah Kuala Teriang, Kuala Melaka, Lubuk Setol, Kubang Badak dan Teluk Yu.


RUMAH penduduk di Kampung Teluk Yu, Langkawi yang dinaiki air akibat hujan lebat sejak petang semalam. FOTO Ihsan Telegram Laporan Kemalangan Langkawi

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra Pegawai Bomba Kanan II Mohd Faizsal Che Me berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 5.33 pagi.

“Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan satu jentera dari BBP Persiaran Putra dihantar ke lokasi untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Seramai 23 anggota termasuk dari BBP Langkawi terbabit dalam operasi menyelamat dan memotong pokok yang tumbang di Kampung Kuala Melaka, hari ini,” katanya.

Katanya, pihak bomba turut menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memutuskan bekalan elektrik kerana banyak tiang elektrik di kampung berkenaan rosak akibat kejadian ribut itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 5:56 PM