KEADAAN mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Mahkamah Lama Alor Setar, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@nstp.com.my


PENUNGGANG motosikal maut selepas tindakannya melalui celahan kereta yang sedang berhenti berikutan lampu isyarat merah di Jalan Mahkamah Lama, Alor Setar gagal menyebabkannya hilang kawalan lalu merempuh empat kereta, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.50 pagi, mangsa Rohaizad Mokhtar, 35, yang bekerja sebagai pembantu pawagam di pusat beli-belah Aman Central meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa yang menunggang Honda EX5 dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh empat kereta yang berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.

Menurutnya, kereta Perodua Axia dipandu suri rumah, Tan Poh Chiew, 55, yang berada di lorong kanan kemek di bumper belakang dan lampu kiri pula pecah.

“Sementara kereta Toyota Vios dipandu Saw Choon Lan, 48, yang berada di belakang kereta Perodua Axia pula calar dan kemek di pintu depan serta bahagian kiri belakang.

“Selain itu, kenderaan pelbagai guna Toyota Unser dipandu Wong Tai Lay, 41, yang berada di lorong sebelah kiri pula kemek pada bumper belakang dan lampu belakang sebelah kanan pecah,” katanya.

Mohd Rozi berkata, kereta Perodua Myvi dipandu Lim Keen Hean, 25, yang berada di belakang Toyota Unser kemek pada bumper belakang dan lampu belakang kanan pecah.

“Manakala motosikal mangsa turut rosak teruk di depan, kiri dan kanan. Ketika kejadian jalan basah akibat hujan dan kemungkinan mangsa hilang kawalan sebelum terbabas,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 5:35 PM