Syed Saleh bersama beberapa jemaah haji Malaysia yang jugaa nggota Sahabat Maktab bersedia untuk bergotong royong membersihkan persekitaran khemah Maktab 81 di Mina. (Gambar kanan) Dua jemaah haji Malaysia yang terbabit dalam gotong royong.
Tuan Asri Tuan Hussein
cnews@nstp.com.my


KEMPEN Kebersihan Perdana Masyair yang pertama kali diadakan pada musim haji tahun ini berjaya mencapai matlamatnya dan akan diteruskan oleh Tabung Haji (TH) pada masa depan

Ketua Rombongan Haji (KRH) Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman amat berpuas hari dengan kerjasama dan semangat ditunjukkan jemaah haji Malaysia dalam melaksanakan kempen itu.

Menurutnya, biarpun kemuncak kempen disasarkan di kawasan khemah jemaah Malaysia di Mina, namun jemaah sudah melakukannya secara kendiri di dua lokasi ibadat Masyair sebelum ini iaitu ketika wukuf di Arafah dan bermabit separuh malam di Muzdalifah.

“Kempen ini memberi impak sangat baik kepada jemaah haji Malaysia sejak di Arafah lagi di mana khemah jemaah Malaysia adalah antara yang terbersih apabila ditinggalkan selepas ibadat wukuf selesai.

"Begitu juga semasa meninggalkan Muzdalifah, kawasan jemaah haji kita dilihat sangat bersih daripada sampah sarap berbanding dengan kawasan negara lain," katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan kempen kebersihan itu Maktab 81 di Mina, semalam.

Menurutnya, keberkesanan kempen itu membuktikan jemaah haji Malaysia boleh melakukan perubahan untuk menjaga kebersihan seterusnya menjadi jemaah haji contoh bagi negara lain.

"Ini satu permulaan yang baik dan akan ditambah baik lagi pada masa depan. Insya-Allah kita akan teruskan kempen ini. Kita akan mulakan dari Malaysia lagi.

"Jemaah akan diterangkan dengan lebih lanjut di dalam kursus haji supaya mereka lebih bersedia untuk menjaga kebersihan apabila berada di Arafah, Muzdalifah dan Mina,” katanya.

Kempen Kebersihan Perdana Masyair itu dilancarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawadi lobi Maktab 72 Hotel Land Premium, Makkah pada 17 Ogos lalu.

Di Arafah dan Muzdalifah aktiviti program dilakukan secara kendiri oleh jemaah dengan dipantau pengurus maktab masing-masing sebelum aktiviti lebih tersusun dibuat sepanjang tiga hari jemaah berada di Mina, bermula dari 11 hingga 13 Zulhijjah (22 hingga 24 Ogos).

Sepanjang tiga hari itu, dalam tempoh satu jam iaitu dari jam 8 hingga 9 pagi semua jemaah Malaysia dibekalkan plastik untuk bergotong-royong mengutip sampah di kawasan khemah tempat tinggal mereka.


Faiz Sahri

Sementara itu, seorang jemaah haji Malaysia Faiz Sahri, 46, menyifatkan program gotong-royong itu satu projek yang cukup bagus kerana dapat menjadikan jemaah lebih peka kepada kebersihan persekitaran.

"Alhamdulillah, kempen seperti ini dapat mencerminkan bukan sahaja sifat rakyat Malaysia itu sendiri, malah peribadi sebagai seorang muslim yang begitu dekat dengan kebersihan,” katanya yang juga anggota Sahabat Maktab.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 4:09 PM