Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


“AIDILADHA kali ini sepi dan sayu, tiada riuh rendah dengan gelak tawa kerana masing-masing masih dalam kesedihan.

"Malah, ibadat qurban yang sepatutnya dibuat semalam juga terpaksa di tunda ke hari ini memandangkan keadaan kami sekeluarga masih lagi terkejut dengan kehilangan tiga adik beradik".

Demikian luahan Nur Faisa Mohamed, 31, seorang daripada adik beradik kepada tiga beradik yang maut dalam kemalangan Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dekat Kota Bharu, 9.40 pagi Isnin lalu.

Mereka yang maut dalam kemalangan itu adalah Mimi Suziana, 39, dan dua adiknya, Norfasmida, 24 serta Ahmad Faris, 16.

Turut maut dalam kejadian itu kawan kepada Norfasmida iaitu Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21, selepas kereta Perodua Viva yang mereka naiki bertembung dengan lori.

Anak kelima daripada sembilan beradik itu berkata, persiapan Aidiladha mereka sekeluarga juga bertukar kepada majlis tahlil dan kehilangan tiga beradik sekelip mata begitu dirasai.

Nur Faisa berkata, ibunya Saudah Salleh, 60, begitu terkesan dengan apa yang berlaku memandangkan ketika kejadian, ibunya tidak tahu tiga anaknya meninggal dunia kerana dimaklumkan hanya seorang sahaja anaknya yang maut.

"Selepas tiga hari, Alhamdulillah mak semakin baik walaupun saya tahu mak begitu sedih dengan apa yang berlaku. Mak begitu tabah dan kuat menghadapi ujian Allah.

"Kami sekeluarga akan mengadakan majlis tahlil selama seminggu dan pagi Aidiladha semalam, kami hanya menziarah kubur arwah," katanya.

Berita berkaitan:

Empat maut Viva bertembung treler

[UPDATE] Sempat sambut hari lahir

[UPDATE] Tak tahu macam mana nak beritahu mak

[UPDATE] Hajat tak kesampaian...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 3:09 PM