SAHARI diserahkan kepada wakil petugas Tabung Haji (T-Shirt Kuning). FOTO Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman
Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

JEMAAH haji Malaysia yang terpisah daripada kumpulannya ditemui di khemah jemaah haji tetamu Raja Salman Abdulaziz Alsaud, di Mina.

Sahari Jundi, berusia lewat 60an, ternyata lega dan hampir menitiskan air mata selepas dibawa ke bilik penginapan tetamu dari Malaysia dan diberi makanan serta minuman.


SAHARI diberi makanan dan minuman sebaik dibawa ke khemah jemaah Malaysia. FOTO Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Beliau yang berasal dari Miri ditemui di bilik jemaah tetamu dari Yaman, malam tadi waktu Makkah oleh seorang daripada 30 tetamu dari Malaysia.

Turut bersama dalam kumpulan jemaah tetamu dari Malaysia adalah Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.


SAHARI bersama jemaah dari Malaysia yang juga Pengarang Eksekutif Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman. FOTO Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman

Sahari yang keletihan dipercayai tersesat ketika dari Arafah ke Mina untuk membuat lontaran di Jamrah.

Khemah tetamu Raja Salman terletak kira-kira 300 meter dari lokasi melontar di Jamrah.

Beliau diserahkan kepada wakil Tabung Haji pada 10.30 malam waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia) selepas jemaah Malaysia menghubungi Tabung Haji di Makkah.

Sahari tidak banyak bercakap kerana seperti kebingungan tetapi kelihatan lega apabila dimaklumkan beliau berada bersama jemaah haji dari Malaysia dan wakil Tabung Haji akan membawanya ke Maktab 86, untuk menyertai kumpulannya semula.

Tidak banyak maklumat diperolehi dari beliau kecuali menyatakan dia telah dua hari terpisah dari kumpulannya dan datang ke Makkah bersama isterinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Ogos 2018 @ 9:00 AM