GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Helmy Abd Rahman dan Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN negeri Terengganu menyifatkan pembatalan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) suatu kerugian, apatah lagi proses pelaksanaan awal projek sudah berlangsung.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, lebih baik sekiranya Kerajaan Persekutuan meneruskan projek dengan membuka tender baharu kepada syarikat tempatan dan luar negara yang berminat.

“Proses awal membabitkan pembinaan laluan, stesen, terowong dan jambatan sudah pun dilakukan termasuk pengambilalihan tanah.

“Malah ada terowong sudah digali sejauh 50 meter. Pada hemat saya, langkah menghentikan pelaksanaan projek ini satu kerugian, sepatutnya boleh buat proses baharu, membuka tender kepada syarikat ‘local’ (tempatan) untuk adakan kerjasama dengan luar negara dengan kos munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Korban Perdana Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Dataran Pemuda di Kampung Rhu Muda, Marang, hari ini.

Semalam, kerajaan memutuskan untuk membatalkan pelaksanaan ECRL dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP), buat masa ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakhiri lawatan ke China berkata, beliau sudah menyampaikan keputusan itu kepada pemimpin China dan mereka memahami masalah dihadapi Malaysia.

Projek ECRL yang dicadangkan pentadbiran Najib mencetuskan kontroversi berikutan kosnya yang mencecah hingga RM70 bilion.

Laluan sepanjang 688 kilometer (km) itu dijangka menghubungkan Pelabuhan Klang ke Pantai Timur melalui Kuantan, Pahang dan Pengkalan Kubor di Kelantan.

Dr Mahathir sebelum ini menolak projek itu sambil menyifatkannya sebagai kontrak 'pelik' kerana negara perlu membiayainya dengan pinjaman dari China, selain mengupah kontraktor dari negara itu.

Pun begitu, Dr Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri masih menunggu maklumat lanjut daripada Persekutuan mengenai pembatalan projek berkenaan.

“Perlu juga ada penjelasan sewajarnya adakah projek ECRL ini dibatalkan terus tanpa memberi peluang kepada pihak lain mengambil alih atau mengambil inisiatif lain untuk meneruskannya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri amat berharap projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti ECRL dapat diteruskan, malah pendirian PAS sendiri meneruskan mana-mana projek terdahulu yang memanfaatkan rakyat.

“Kita tetap menghormati dan berharap dapat menjalin kerjasama yang baik dengan Persekutuan. Diharap segala janji yang pernah dimeterai antara sebelum ini dapat diteruskan ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 4:43 PM