JARI telunjuk kiri kanak-kanak berusia tujuh tahun terlekat logam. Foto NSTP/IHSAN BOMBA
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


PASUKAN bomba terpaksa mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk mengeluarkan logam yang terlekat pada jari telunjuk kiri murid Tahun Satu di Kampung Gelam, Pasir Puteh, malam tadi.

Mangsa sebelum itu dikatakan membaiki basikal miliknya di rumah di kampung itu kira-kira 10 malam.

Bagaimanapun, logam itu kemudian terlekat pada jari telunjuk mangsa. Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, lima anggotanya ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada HTA, 11.05 malam.

Menurutnya, sebaik sampai operasi membuka logam menggunakan alat pemotong di jari telunjuk mangsa dilakukan.

"Kita mengambil masa selama lebih kurang 15 minit untuk melakukan kerja-kerja memotong logam itu.

"Sebaik selesai jari kanak-kanak itu dibersihkan dan diletak ubat bagi mengubati luka kecil di jarinya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 2:41 PM