Iskandar Shah Mohamed
iskandar@nstp.com.my


KEGIATAN haram bekas pemain bola sepak Selangor mendalangi sindiket curi kenderaan dikenali ‘Geng Kenot’ sejak tiga bulan lalu lumpuh apabila dia dicekup polis bersama lima ahlinya.

Difahamkan, lelaki berusia lingkungan 30-an yang memiliki 18 rekod jenayah lampau itu bertindak sebagai ketua termasuk merekrut ahli baharu geng berkenaan.

Mereka dipercayai menjalankan ‘tugasan’ berbeza iaitu mencuri, meleraikan dan menjual komponen kenderaan yang dicuri terutama membabitkan motosikal.

Selain itu, ada antara mereka melakukan samun terhadap beberapa premis perniagaan dengan menggunakan senjata tajam dan pistol tiruan.

Ia bagaimanapun berakhir apabila enam ahli geng itu diberkas polis Klang Selatan dalam tempoh 11 hari di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerusi pasukan Lejang Khas mengekori lelaki bermotosikal ke Jalan Sungai Udang, Klang, 6 Ogos lalu.

“Hasil penahanan suspek kemudian mendapati motosikal ditungganginya itu dilaporkan hilang di Pelabuhan Klang pada hari sama.

“Siasatan lanjut membawa kepada penahanan keseluruhan enam suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an, sepanjang tempoh sehingga 16 Ogos lalu.

“Selain itu, kita merampas 11 motosikal, tiga kereta dan empat rangka motosikal untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Klang, hari ini.

Menurutnya, dengan tertangkapnya semua suspek, pihaknya berjaya menyelesaikan 18 kes curi kenderaan dan tiga kes samun di Klang.

“Semakan mendapati ketua geng itu yang juga bekas pemain bola sepak memiliki 10 rekod kes dadah, tujuh kes curi kenderaan dan satu memiliki senjata.

“Selain itu, dua daripada mereka terbabit kes samun kedai ubat, kedai dobi dan kedai serbaneka,” katanya yang memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Shamsul Amar berkata, pihaknya sedang mengesan tiga lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menumpaskan dua sindiket curi motosikal dikenali sebagai Geng Comel dan Geng Rajan dengan penahanan empat individu, baru-baru ini.

“Kejayaan itu membawa kepada penurunan kes kecurian motosikal iaitu 317 kes sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 412 kes dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 10:38 PM
SHAMSUL Amar (dua kanan) menunjukkan 11 motosikal serta empat rangka yang dirampas daripada Geng Kenot. FOTO Faiz Anuar