DR Halimah Ali (kanan), beramah mesra bersama Mashita Abdullah, 63, ketika berkempen sempena PRK Seri Setia. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Wartaawan NSTP

BERPENGALAMAN sebagai bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang dan bekas EXCO kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali dilihat sebagai calon terbaik mewakili PAS untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia.

Ikuti soal jawab wartawan NSTP, Mohd Iskandar Ibrahim dan Kalbana Perimbanayagam dengan Dr Halimah dalam usahanya meraih sokongan pengundi.

Soalan (S): Bagaimana Dr Halimah milhat Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia boleh dijadikan bukti dan pengesahan sokongan pengundi terhadap PAS?

Jawapan (J): Tidak sampai tempoh 100 hari, tiga pilihan raya kecil diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ketika PRU-14, rakyat Malaysia seoalah-olah panik dan mempunyai keghairahan untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN). Bagi saya, PRK Seri Setia ini berlainan kerana banyak yang berlaku dalam tempoh 100 hari Pakatan Harapan (PH) memerintah.

S: Pada PRK Sungai Kandis yang ditandingi BN, calon dan pemimpinnya yang turun padang menggunakan isu nasional untuk berkempen. Adakah Dr Halimah akan menggunakan pendekatan serupa untuk berkempen?

J: Sebenarnya majoriti rakyat sudah pening dan mula mual dengan 'politiking' selain isu yang terlampau banyak. Bagi saya, fokus utama adalah berusaha mendekatkan diri dengan rakyat dan merasai denyut nadi mereka supaya saya dapat memahami dengan lebih mendalam masalah dihadapi mereka.

Mengenai isu nasional, saya serahkannya kepada pemimpin (PAS) pusat untuk memberi penerangan kerana kita mempunyai jentera yang mantap untuk berbuat demikian. Saya akan fokus untuk lebih mengenali rakyat.

S: Pada PRK Sungai Kandis, PAS memberi laluan kepada UMNO dan bagi PRK Seri Setia pula, UMNO memberi laluan kepada PAS. Adakah Dr Halimah melihat ini sebagai bermulanya permuafakatan PAS-UMNO?

J: Persefahaman sudah bermula di Sungai Kandis apabila PAS tidak bertanding di sana. Alhamdulillah kita melihat PAS sudah memulakan budaya politik matang dan sejahtera. Sebenarnya bukan UMNO sahaja tetapi mana-mana parti yang boleh menerima dasar perjuangan PAS, kami akan berkawan dengan sesiapa sahaja.

S: Adakah Dr Halimah melihat tempoh berkempen selama 21 hari boleh membantu PAS meraih lebih banyak sokongan dan menyampaikan isu yang diketengahkan dengan lebih berkesan?

J: Tempoh 21 hari adalah masa yang amat panjang tetapi ia juga memberi kelebihan kepada PAS di mana saya dapat pergi ke lebih banyak tempat dan memberikan penerangan yang sewajarnya selain dapat berjumpa lebih ramai pengundi dalam DUN Seri Setia.

Saya akan menggunakan tempoh yang panjang ini dengan sebaiknya kerana masa amat penting dalam mana-mana kempen pilihan raya.

S: Apakah yang boleh PAS lakukan dalam jangka masa panjang untuk meraih sokongan pengundi secara berterusan terutama membabitkan golongan berusia 30 hingga 49 tahun memandangkan mereka adalah kumpulan pengundi terbesar?

J: Sudah tentu PAS mempunyai strategi bagaimana untuk mendekati pengundi.Mengenai pengundi muda, jentera Pemuda PAS juga mempunyai strategi yang akan digunakan dalam kempen PRK Seri Setia. Saya yakin semua jentera yang terbabit sepanjang tempoh berkempen PRK Seri Setia akan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 9:14 PM