Anggota bomba memberi minum eekor lembu yang berjaya ditangkap setelah terlepas sebelum itu. FOTO Ihsan Bomba
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my

PENGGUNA Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam menghala ke Subang Jaya gempar selepas seekor lembu ‘terlepas’ dari Seksyen 15, tengah hari tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15 Shah Alam bersama jentera mengejar lembu berkenaan sejauh kira-kira 10 kilometer sebelum berjaya ditangkap dan diserahkan kepada pemiliknya.

Ketua BBP Seksyen 15 Shah Alam, Timbalan Penguasa Bomba Azmel Kamarudin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.26 tengah hari mengenai seekor lembu terlepas sebelum dan pasukannya bergegas ke lokasi.

“Kami menerima panggilan dari pihak kilang membabitkan seekor lembu berada di dalam kawasan kilang di Jalan Pengapit 15/19, Shah Alam.

“Sampai di lokasi, kami mendapati lembu itu berada di dalam kawasan kilang dan anggota bomba cuba menangkapnya namun haiwan terbabit melarikan diri sehingga ke stesen minyak Petronas Subang Jaya menghala ke Kuala Lumpur.

“Ketika di sana, anggota berjaya menangkap lembu itu dengan menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi.

Azmel berkata, lembu terbabit diserahkan kepada pemiliknya yang datang ke stesen Petronas itu selepas dimaklumkan ternakan miliknya berada di situ.

Katanya, operasi khidmat khas lembu itu tamat pada jam 5.20 petang.

Aksi lembu itu turut dirakam dan dimuat naik pengguna lebuh raya yang melalui laluan berkenaan sebelum menjadi viral.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 8:53 PM