DR Mahathir menjawab pertanyaan media pada akhir lawatan rasmi lima harinya ke China. FOTO Bernama
Saidon Idris di Beijing

MAJLIS Penasihat Kerajaan (MPK) tidak akan dibubarkan lagi kerana khidmatnya masih diperlukan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri menjelaskan, beliau tidak pernah mengatakan MPK hanya diperlukan untuk tempoh 100 hari.

“Dia (Tun Daim Zainuddin) kata 100 hari tetapi saya tidak pernah kata saya memerlukan beliau 100 hari untuk menjalankan sebahagian kerja saya.

“Daim mempunyai akses kepada banyak maklumat, jadi penting untuk beliau meneruskan kerjanya,” kata Dr Mahathir pada sidang media pada akhir lawatan lima harinya ke China, hari ini.

Daim, iaitu pengerusi MPK semalam berkata, majlis itu sudah menyempurnakan mandatnya dan akan menyerahkan semua laporan cadangan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri sebaik beliau pulang dari China.

MPK ditubuhkan pada 12 Mei lalu oleh Dr Mahathir untuk menjadi penasihat ekonomi, kewangan dan hal-hal lain.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, beliau tidak membincangkan mengenai ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho semasa lawatannya ke China walaupun ada khabar angin mengatakan beliau berada di negara itu.

“Saya rasa dia mungkin berada di China. Itu khabar angin yang saya dengar. Lelaki ini adalah sangat licik. Saya diberitahu dia memiliki banyak pasport yang membolehkannya ke mana-mana sahaja, katanya.

Ditanya apa yang beliau akan lakukan jika Jho Low berada di depannya, Dr Mahathir berkata: “Saya akan menggari dia.”

Perdana Menteri juga menganggap laporan bahawa China melindungi Jho Low sebagai cakap-cakap kosong.

“Orang bercakap macam-macam tetapi perlu ada bukti,” katanya.

Berita berkaitan:

ECRL, TSGP dibatalkan, MPK diteruskan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 6:26 PM