GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


BERANG bayi yang diasuh tidak berhenti menangis, wanita mencubit mangsa hingga lebam di perut dan dada dalam kejadian di Taman Sri Serdang, Kepala Batas, semalam.

Dalam kejadian 10 pagi itu, pengasuh berusia 33 tahun terbabit kemudian pada mulanya menghantar kiriman WhatsApp kepada ibu mangsa memberitahu badan anaknya dipenuhi kesan lebam tanpa diketahui punca.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ibu mangsa kemudian mengambil bayinya di rumah pengasuh dan membawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut, doktor mengesyaki bayi terbabit menjadi mangsa dera dan terus menghubungi polis.

“Kita turut mengambil keterangan awal daripada ibu mangsa dan wanita itu mendakwa menghantar bayinya ke rumah pengasuh 7 pagi.

“Ibu mangsa mendakwa ketika dihantar ke situ, bayinya dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Noorzainy berkata, susulan daripada itu, polis menahan suspek dan hasil siasatan awal wanita berkenaan mengaku dia mencubit mangsa kerana tidak berhenti menangis.

“Suspek mengaku dia terlalu geram selepas bayi berkenaan asyik menangis dan mencubit mangsa untuk menghentikan tangisannya.

“Perbuatan itu dilakukan di ruang tamu dan turut dilihat anak lelakinya yang berusia empat tahun,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan doktor mendapati memang terdapat banyak kesan lebam baru di dada serta perut mangsa, namun tiada kecederaan dalaman atau patah di tubuhnya.

“Suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 2:36 PM