UPACARA penyerahan rangka berlangsung penuh penghormatan di KLIA, semalam.
Hashini Kavishtri Kannan dan Siti A'isyah Sukaimi
cnews@nstp.com.my

Sepang: Upacara Rasmi Penyerahan 27 Rangka Anggota Tentera dan warga New Zealand (Op Te Auraki) di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam berlangsung dengan penuh penghormatan.

Rangka itu membabitkan anggota tentera New Zealand yang terkorban semasa pembabitan sebelum Perang Dunia Kedua, era Darurat Pertama dan kebanyakannya tertumpu di Perak, sempadan Malaysia-Thailand sehingga 1966.

Pada upacara penghormatan terakhir itu, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menjadi saksi kepada upacara menandatangani dokumen rasmi penyerahan 27 rangka berkenaan.

Ia ditandatangani Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Panglima Tentera Darat New Zealand Mejar Jeneral Peter Kelly.

Seramai 400 warga Kementerian Pertahanan serta wakil delegasi New Zealand menghadiri upacara penyerahan keranda dan disempurnakan Tim Istiadat Angkatan Tentera Malaysia diketuai seorang pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Op Te Auraki disifatkan satu operasi penuh bermakna, malah Malaysia memberi penghormatan kepada New Zealand terhadap sumbangan memerdekakan negara ini.

“Pada masa sama, ia satu kejayaan kepada Malaysia dan New Zealand terhadap hubungan dua hala pertahanan antara kedua-dua negara.

“Justeru, Malaysia berbesar hati terbabit dalam operasi ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada lagi rangka anggota tentera New Zealand yang dikebumikan di negara ini.

“Terpulang kepada pihak kerajaan New Zealand untuk mengenal pasti termasuk melakukan proses forensik terhadap rangka anggota tentera yang masih dikebumikan di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Kelly berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Malaysia serta semua pihak terbabit dalam operasi berkenaan sehingga rangka itu dapat dibawa pulang ke New Zealand.

“Rangka anggota tentera dan warga New Zealand yang dibawa pulang ini atas permintaan keluarga masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:34 AM