MAZLAN menunjukkan syabu yang dirampas daripada penyeludup pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my

Shah Alam: Tujuh daripada lapan lelaki warga tempatan menyembunyikan 68 peket lutsinar dadah jenis syabu di badan selain lapan peket lagi dalam satu beg pakaian ketika cuba menyeludup dadah bernilai RM675,994.50 ke Korea Selatan.

Dadah seberat 13.52 gram itu dirampas dalam dua operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 11 dan 15 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, tangkapan dilakukan Polis Bantuan KLIA2, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman.

“Hasil tangkapan terhadap lapan lelaki yang berkelakuan mencurigakan itu, polis merampas 68 peket plastik lut sinar yang disembunyikan pada badan tujuh suspek dan lapan peket dalam beg pakaian salah seorang suspek, yang disyaki dadah jenis syabu (methamphetamine).

“Dalam kes tangkapan pertama jam 6.35 pagi 11 Ogos lalu, enam lelaki bersama 10.43 gram syabu ditahan ketika pemeriksaan keselamatan sewaktu mereka melalui mesin pengimbas.

“Tangkapan kedua pula ketika dua lagi suspek sedang menunggu untuk menaiki kapal terbang kira-kira jam 1.15 pagi pada 15 Ogos,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, semalam.

Mazlan berkata, empat daripada suspek yang berusia antara lingkungan 18 hingga 53 tahun itu bekerja dalam sektor swasta, manakala empat lagi tidak bekerja.

SYABU yang dirampas dalam tangkapan di klia2.

“Lapan suspek itu ditahan reman mengikut Seksyen 117, Kanun Acara Jenayah sehingga 20 Ogos dan 24 Ogos ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan akan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 rotan,” katanya.

Mazlan berkata, dalam operasi sama, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor turut menyerbu satu unit rumah sewa di sebuah pangsapuri perkhidmatan di Kuala Lumpur kira-kira jam 7 malam pada 12 Ogos.

Katanya, premis itu serta sebuah hotel bajet di Petaling Jaya dikesan digunakan ahli sindiket bagi memproses dadah berkenaan.

“Sejumlah 15.6 gram disyaki serbuk ekstasi, 3.0 gram disyaki dadah syabu, lima biji pil ekstasi dan lima pil erimin 5 dalam serbuan terbabit, selain wang tunai RM1,512 dan mata asing Won Korea 1,403,000 (RM5,078.38),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati sindiket terbabit mengikat dadah pada badan keldai dadah selain bahan itu disorokkan dalam kasut yang dipakai suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 11:25 AM