GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my


TIGA senario dijangka dihadapi pengguna dan peniaga sebaik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada 1 September ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, selepas pelaksanaan cukai itu, akan berlaku sama ada harga barang akan meningkat, kekal dan menurun.

Katanya, situasi itu tertakluk kepada jenis barang dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna.

“Selama tiga bulan sejak Jun, tiada cukai dikenakan iaitu kosong peratus sebelum kita akan laksanakan SST untuk menggantikan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) pada 1 September ini.

“Pelaksanaan SST nanti ada barang dikenakan cukai 10 peratus, lima peratus dan kosong peratus.

“Secara logiknya, sudah tentu ada kesan iaitu kenaikan harga barang, kedua kekal dan ketiga penurunan bergantung kepada jenis barang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Taklimat Kepenggunaan kepada Ahli Pertubuhan Pakatan Anak Tanah Merah (PAKAT) di Tanah Merah, hari ini.

Turut hadir, Penaung PAKAT, Datuk Seri Supardi Md Noor dan Pemangku Pengarah KPDHEP Kelantan, Firdus Zakaria.

Saifuddin berkata, pihaknya memberi jaminan 22 harga barang kawalan dijual pada harga ditetapkan.

“Keutamaan kementerian adalah pada harga barang kawalan, bekalan mesti cukup dan harga tidak berubah seperti gula dan minyak.

“Kementerian sentiasa bersedia untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan dengan bantuan daripada sahabat KPNHEP dalam membantu memberi maklum balas berhubung harga barang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk melihat lebih mendalam mengenai isu monopoli dalam pembekalan barangan dan perkhidmatan.

“Jawatankuasa ini dianggotai beberapa kementerian lain untuk melihat lebih mendalam mengenai perniagaan bersifat monopoli.

“Hasil daripada mesyuarat dalam jawatankuasa ini akan dibawa kepada jemaah menteri untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 9:35 PM