GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my


MAJLIS Penasihat Kerajaan (MPK) menjelaskan mengapa penghapusan tol di seluruh negara disifatkan tidak bijak dilakukan pada masa ini, dalam satu laporan, hari ini.

Pengerusinya, Tun Daim Zainuddin berkata, terdapat banyak cadangan menerangkan idea penghapusan tol dan sebab ia tidak sesuai dilakukan.

"(Laporan) kenapa idea untuk hapuskan tol semua dalam keadaan kewangan semasa negara tidak bijak dibuat pada peringkat ini.

"Saya rasa rakyat juga akan faham mengapa dan semua laporan cadangan ini akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sekembalinya beliau dari China," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Daim berkata, sepanjang 100 hari lalu, MKN bertemu lebih daripada 350 orang dari lebih 200 organisasi antaranya penguatkuasaan perbankan persatuan perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana, pengeluar, peruncit, kontraktor, pemandu teksi, penjaja, petani, aktivis, artis, badan bukan kerajaan dan masyarakat kurang upaya.

"Pembabitan dengan semua pihak berkepentingan ini membolehkan kami mengumpulkan input dan isu yang dihadapi ekonomi dan rakyat.

"Kerajaan dan rakyat harus bersedia untuk membuat dan menerima apa sahaja keputusan yang sukar bagi manfaat jangka panjang negara.

"Tiada penyelesaian pantas terhadap masalah yang dikenal pasti oleh MKN selain banyak lagi cabaran perlu ditempuhi di hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:07 PM