FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

LELAKI berstatus suami dan pasangannya yang juga janda didenda RM2,500 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan berkhalwat, Januari lalu.

Hukuman diputuskan Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof selepas tertuduh berusia 32 tahun dan pasangannya 36 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara tiga minggu terhadap tertuduh, sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Sultan Mahmud, di Kuala Terengganu, pada 10.40 malam, 25 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

Berdasarkan fakta kes, kedua-duanya ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai penguat kuasa syariah daerah di bilik hotel berkenaan.

Siasatan lanjut mendapati mereka tiada hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Khanurulhajja Mustafar dan tertuduh membayar denda masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 3:43 PM